comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Nurul Ain, suami selamat tiba di KLIA, disambut keluarga

Oleh: Fahiz Ariff

SEPANG: Rakyat Malaysia Nurul Ain Haron, 37, yang terkandas di kawasan konflik Gaza bersama suaminya warga Palestin Mohamed Adan Shaat, 33, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, jam 8:55 malam tadi.

Ketibaan Nurul Ain dan suami disambut bapa, Haron Hamim, 65, ibu, Mastura Yusof, 61, adik bongsu, Puteri Dania Qistina Haron, 15 bersama ahli keluarganya yang lain.

Nurul Ain ketika ditemui berkata, dia terpaksa keluar dari Gaza kerana keadaan yang semakin meruncing.

Akuinya, keadaan di Gaza sekarang serba kekurangan dan beliau sedih kerana tidak dapat memberikan sumbangan rakyat Malaysia kepada penduduk di sana kerana kekangan dan halangan rejim Zionis.

“Sebenarnya saya dan suami memang tidak mahu keluar kerana masih terdapat ahli keluarga disana.

“Namun keadaan semakin meruncing dan suami perlu bekerja untuk terus bantu salurkan bantuan untuk ahli keluarga di sana” katanya.

Rakyat Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza, Nurul Ain Haron selamat bersama suaminya warga Palestin Mohamed AM Shaat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki syarikat penerbangan Malaysia (MAS). FOTO: NSTP

Menceritakan pengalaman beliau, Nurul Ain berkata, keadaan sangat memilukan kerana ada saudara suaminya mati syahid apabila dibedil lapan bom rejim Zionis.

“Kami keluar dengan Bismillah dan kami serahkan mereka (keluarganya) dalam jagaan Allah,

“Insya-Allah, mereka akan selamat dan saya harap gencatan senjata disegerakan dan tolonglah sokong gencatan senjata ini”, kongsinya ketika ditemui wartawan di KLIA, tadi.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Timbalannya, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani.

Sebelum ini, media melaporkan Nurul Ain ke Gaza mengikut suaminya pada 1 Oktober lalu selepas enam tahun berkahwin.

Kira-kira seminggu selepas berada di sana, wanita berasal dari Keramat, Kuala Lumpur itu berdepan detik cemas apabila Gaza mula diserang rejim Zionis.

Lebih menyedihkan, Nurul Ain menyambut ulang tahun kelahirannya dengan serangan bom pada 11 Oktober lalu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini