comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Pekerja kedai aksesori telefon bimbit didakwa bunuh majikan

IPOH: Pekerja kedai aksesori telefon dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita yang juga majikannya, minggu lalu.

Tertuduh, Yap Kok Ming, 54, hanya mengangguk faham sewaktu pertuduhan dibaca dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret, Siti Nora Sharif.

Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Lee Siew Lean, 49, di sebuah premis kedai menjual aksesori telefon bimbit di Laluan Rasi Jaya 8, Taman Rasi Jaya, Menglembu, di sini antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari pada 4 Januari lalu.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati, dan jika tidak dihukum mati hendaklah dipenjara minimum 30 tahun namun tidak melebihi 40 tahun beserta tidak kurang dari 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Siti Nora kemudiannya menetapkan tarikh 6 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan post morterm

Pada 4 Januari lalu akhbar ini melaporkan perselisihan faham mengenai masalah kewangan dikenal pasti sebagai motif pertengkaran yang membawa kepada pembunuhan seorang wanita oleh pekerjanya di sebuah kedai aksesori telefon bimbit di Taman Rasi Jaya, Menglembu, di sini, hari itu.

Mangsa berumur 49 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat ditikam bahagian dada oleh pekerjanya yang turut mempunyai empat rekod jenayah lampau itu.

Loading...
Terkini