comscore
Tumpuan :
Nasional

Anak kucing yang kita bela mati pun sedih, inikan pula anak kandung sendiri – Bapa Azza Fahmi

Azhar Khaiden (berbaju melayu biru) memimpin solat jenazah ke atas jenazah anaknya, Konstabel Ahmad Azza Fahmi di kediaman keluarga di Kampung Poh Tambahan, dekat Bidor, Tanjung Malim hari ini. – FOTO: NSTP

TANJUNG MALIM: “Di luar saya kelihatan kuat, di dalam saya menangis pada tengah malam. 20 tahun bersama dengan saya. Dua tahun pergi ke Ulu Tiram, pulang kepada saya terbujur kaku.”

Demikian luah Azhar Khaiden, 54, bapa Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, sebaik jenazah anaknya yang mesra dipanggil Ami selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, dekat Bidor, di sini jam 7.20 malam tadi.

Azhar berkata hatinya sebak dan tidak mampu menahan air mata sewaktu melihat keranda anaknya sepanjang tujuh jam perjalanan dari Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor ke kediaman mereka di sini, hari ini.

“Bila pandang (keranda Ami), menitik air mata dan apabila saya mengimamkan solat jenazah di rumah tadi, saya tak boleh lagi tahan (menangis).”

“Sebelum ini, kita boleh nampak dia, tetapi sekarang sudah hilang daripada pandangan mata.”

“Itu takdir yang saya alami, siapa yang pernah alami pasti lebih memahami.”

“Kalau anak kucing yang kita bela mati pun kita sedih, inikan pula anak kandung sendiri,” katanya selepas merakam penghargaan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hadir ke tanah perkuburan berkenaan kerana membantu proses menguruskan jenazah Ahmad Azza Fahmi.

Turut memberikan penghormatan terakhir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi.

Azhar yang bertugas sebagai guru Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kelah berkata isterinya, Nurhaliza Awaluddin, 49, masih bersedih mengenangkan pemergian mengejut anak keempat daripada lapan beradik itu lantaran insiden tidak dijangka, awal pagi semalam.

Menurutnya, bagi memulihkan semangat isterinya itu, beliau sekeluarga berharap agar PDRM mempertimbangkan memindahkan abang kepada Ami iaitu Lans Koperal Ahmad Azza Fitri Azhar, 24, yang bertugas di Balai Polis Pulau Gaya, Sabah ke Perak.

“Anak lelaki kami ada dua, seorang sudah pergi. Seorang lagi ada tapi jauh, tolong dekatkan supaya pulihkan semangat isteri saya,” katanya.

Azhar berkata adik perempuan Ami iaitu Nur Azza Assyaadah, 19, akan menghadiri temu duga bagi memohon perjawatan polis di Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh pada Selasa ini.

Jelasnya, beliau berharap anaknya itu boleh menjadi galang ganti kepada Ahmad Azza Fahmi dalam berkhidmat kepada negara.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi semalam, Ahmad Azza Fahmi terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram akibat ditetak oleh seorang lelaki bertopeng.

Kejadian serangan itu turut mengakibatkan seorang lagi anggota polis, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban akibat ditembak di bahagian bahu dan perut oleh individu sama.

Manakala, Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan dalam insiden serangan berkenaan dirawat di zon merah sebelum ini, dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sudah dipindahkan ke wad biasa di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Lelaki berusia 30-an yang melakukan serangan itu telah ditembak mati.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini