comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PRK Kemaman: MB Terengganu ditentang bekas Panglima ATM

 

CHUKAI: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar PAS dan calon Barisan Nasional (BN) bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Keputusan calon layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman, sebentar tadi.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS diiringi pencadang, Che Alias Hamid yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman dan penyokong, Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai.

Calon Barisan Nasional (BN) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan) bersama Calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Majlis Perbandaran Kemaman. – Foto: NSTP

Manakala, Raja Mohamed Affandi diiringi Pengerusi Perhubungan BN  Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebagai pencadang dan bekas Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai penyokong.

Ahmad Samsuri menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.04 pagi disusuli Raja Mohamed Affandi pada jam 9.08 pagi.

Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada PRU15.

Pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kemaman Terengganu pada 2 Disember depan manakala pengundian awal pada 28 November ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini