comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Rezeki jaga ibu bapa sakit; remaja 14 tahun terima biasiswa

KUALA KRAI : Pengorbanan seorang remaja 14 tahun yang sanggup menjaga kedua ibu bapanya yang terlantar sakit wajar menjadi inspirasi kepada golongan muda lain.

Benarlah kata orang, nikmat rezeki akan diperluas jika kita berbakti kepada ibu bapa.

Muhamad Adam Aizad Mazlan dari kampung Batu Jong, Kuala Krai, Kelantan akhirnya menerima bantuan biasiswa.

Kisah Muhamad Adam sebelum ini tular kerana sanggup menjaga kedua ibu bapanya yang sakit.

Ibu Muhamad Adam menderita penyakit buah pinggang tahap lima sejak tahun lalu selain penyakit kencing manis serta darah tinggi sehingga menyebabkan penglihatannya kian kabur.

Manakala bapanya pula terlantar sejak Ogos tahun lalu, akibat serangan angin ahmar dan bergantung sepenuhnya dengan lampin pakai buang serta susu khas yang diberikan menerusi saluran tiub.

Nasib dan derita tiga sekeluarga ini akhirnya mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan, MAIK.

Menurut Pegawai Agihan Zakat MAIK, pihaknya telah meluluskan bantuan perubatan sebanyak RM3000 bagi meringankan beban keluarga terbabit.

“Selain itu, kami juga telah meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM1,000  bagi menampung keperluan keluarga dan juga bantuan biasiswa Tengku Anis kepada adik Adam dalam membantu apa ni, perjalanan persekolahan adik Adam lah.” katanya

Bagi Muhamad Adam, bantuan biasiswa itu akan digunakan sebaik mungkin untuk keperluan persekolahannya.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada MAIK dan pembayar zakat, terima kasih juga kepada MAIK beri saya biasiswa bulanan. Insyaallah saya akan gunakan duit itu untuk beli barang untuk sekolah, guna sebaik mungkin lah. Terima kasih banyak”.

Bagi ibunya, Rahayu Daud, 49 tahun, bantuan bulanan itu akan dimanfaatkan untuk mendapatkan rawatan pemulihan suaminya, Mazlan Latif, 59 tahun.

“Kak kalo buleh gak, nak perubat abe dulu biar dia tu buleh jalan koho-koho gi jambe, nak usaha tu dulu. Kalau nak panggil ore fisio mari rumah. Duit zakat ni banyak membantu kak untuk menampung perubatan kak keluarga kak” katanya ketika ditemui.

Loading...
Terkini