comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] “Terima kasih rakyat Malaysia satukan kami sekeluarga”- Nadir Al Nuri

 

Oleh: Ain Shafiqah Zaki

BANGI: Hadiah Syawal paling bermakna.

Misi ‘gila’ oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi watak utama dalam misi menyelamat membawa pulang keluarga aktivis, Muhammad Nadir Al Nuri Kamaruzzaman itu disifatkan sebagai momen yang bakal diingati sepanjang hayat.

“Alhamdulillah selepas enam bulan keluarga saya dihadiahkan untuk menjadi benteng pertahanan di bumi Gaza mempertahankan ia daripada diambil penjajah.

“Hari ini saya menghadiahkan pula ahli keluarga saya berada di Malaysia untuk terus menyampaikan berita apa yang ada telah berlaku di sana.

“Pengalaman yang sangat pahit dalam tempoh yang sangat panjang, perang dan genocide yang berlaku di saat ini,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.

183 hari yang mendebarkan.

Ujar Nadir, beliau ada mencuba untuk membawa pulang yang tersayang menggunakan laluan syarikat dimana perlu mengeluarkan kos yang banyak namun ianya tetap mempunyai risiko yang tinggi justeru memohon pertolongan daripada Perdana Menteri sebulan yang lalu merupakan jalan akhirnya bagi memastikan keluarganya menjalani hidup tenang tanpa dihimpit peperangan.

“Kita pernah mempertimbangkan untuk menggunakan laluan tersebut tapi kerana jumlah ahli keluarga yang ramai nak keluar.

“Tapi dalam masa sama risiko keselamatan tu tetap ada jadi kami memilih untuk memohon bantuan daripada PMX dan alhamdulillah berjaya,” ujarnya.

Nadir mengakui – hatinya tersentuh apabila anak-anaknya yang baru tiba di Malaysia sehari sebelum Aidilfitri lalu, terlalu teruja apabila melihat makanan segar di pasar raya kerana lebih enam bulan dijamukan makanan di dalam tin.

“Dia nampak telur pun dia terkejut, dia panggil kakak dia eh tengok tu ada telur.

“Nampak oren, eh ada oren. Enam bulan dah kita tak makan oren. Mereka sangat terkejut dengan suasana kita yang sangat mudah dapatkan makanan,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan di masa hadapan, beliau berkata akan kembali ke Gaza apabila keadaan kembali aman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini