comscore
Tumpuan :
Nasional

Kualiti udara kilang cat di Meru pada tahap baik – JAS Selangor

Oleh: Fahmi Tajuddin

KAPAR: Kualiti udara di kawasan kebakaran melibatkan sebuah kilang cat di Taman Perindustrian Meru, Kapar pada awal pagi Isnin, kini berada dalam keadaan terkawal.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata pihaknya telah meletakkan dua alat pengukur udara di sebuah sekolah yang berhampiran dengan lokasi kejadian kebakaran dan telah melakukan pengawasan lebih daripada 24 jam.

“Pihak JAS telah menempatkan dua alat pengukur udara di Sekolah Kebangsaan (SK) Meru dan setakat ini kita telah memantau lebih daripada 24 jam dan kita dapati tahap kualiti udara di kawasan tersebut berada pada tahap yang terkawal.

“Dari segi pengukuran, setakat ini kita tidak mengesan sebarang gas-gas yang berbahaya di kawasan sekitar, walau bagaimanapun pihak JAS masih melakukan pemantauan sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam akan datang sehinggalah kita berpuas hati keadaan kembali seperti asal,” katanya ketika dihubungi oleh Buletin TV3.

Sementara itu, beliau berkata pihak JAS Selangor juga sudah melakukan kerja-kerja pembersihan sisa kebakaran yang mengandungi bahan kimia di kawasan longkang persekitaran perumahan penduduk.

Katanya, JAS Selangor juga sudah mengarahkan pihak kilang terlibat untuk mengumpulkan semua sisa-sisa kebakaran dan memastikan keadaan kawasan berkenaan selamat.

“Pihak JAS juga telah mengeluarkan arahan kepada pihak kilang untuk mengumpulkan semua sisa-sisa kebakaran yang terdiri daripada bahan kimia, kita telah mengarahkan untuk dilupuskan di premis oleh pihak JAS demi memastikan pengurusan sisa-sisa kebakaran ini dijalankan secara teratur dan selamat.

Tambahnya lagi, pemantauan rapi akan dilakukan untuk tempoh 24 jam seterusnya bagi memastikan kualiti udara tidak tercemar.

Beliau juga menasihati penduduk untuk tidak berada di kawasan kilang berkenaan kerana bimbang masih terdapat bau bahan kimia akibat kebakaran yang berlaku.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini