comscore
Tumpuan :
Nasional

Siasat MB Perlis: Husnuzon, serah kepada SPRM jalankan siasatan – Zahid

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Semua pihak diminta untuk bersangka baik terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini untuk membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga mahu semua pihak menyerahkan kepada SPRM untuk melakukan siasatan.

“Kita husnuzon, bersangka baik dan serah kepada SPRM utk melakukan siasatan. Kita lihat sama ada SPRM sediakan IP (kertas siasatan) dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Dan jika ada asas, serah kepada mahkamah dalam perkara ini (untuk tindakan lanjut),” katanya yang ditemui selepas menghadiri Majlis Semarak MADANI Kompleks C, di sini hari ini.

Mohd Shukri diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi tadi untuk dirakamkan percakapan dan disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Tambah Azam, pihaknya merakam percakapan pemimpin PAS itu dan sebarang tindakan susulan akan diputuskan kemudian.

Sebelum ini, SPRM dilapor sedang menyiasat seorang pemimpin di utara tanah air yang disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar berjumlah RM1 juta yang mana syarikat itu mempunyai kepentingan dengan anaknya.

Siasatan juga termasuk tindakan pemimpin berkenaan melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengannya bagi beberapa projek pembekalan melibatkan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bernilai kira-kira RM300,000.

Projek-projek tersebut juga dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin terbabit dengan menggunakan beberapa lesen syarikat-syarikat di bawah kawalannya.

Terdahulu, media melaporkan, anak kepada Menteri Besar Perlis antara enam individu yang direman SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, siasatan terhadap Mohd Shukri tiada kaitan dengan peristiwa yang berlaku sebelum ini.

“Tiada kena mengena apa-apa peristiwa sebelum dan selepas ini,” katanya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini dipetik berkata, siasatan ke atas Menteri Besar Perlis itu sama situasi yang pernah berlaku kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2009 apabila SPRM melakukan siasatan terhadapnya berhubung dakwaan penajaan mengerjakan umrah oleh seseorang ahli perniagaan.

Ditanya sama ada isu ini bakal dijadikan modal politik pembangkang yang mendakwa kononnya SPRM dijadikan alat politik kerajaan, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, apa sahaja isu akan pasti dijadikan modal oleh pembangkang.

“Jadi sebab itu harus husnuzon dalam perkara ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini