comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tiga ADUN Warisan umum bertindak keluar parti, kini ADUN bebas dan sokong Hajiji.

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) umum keluar parti hari ini.

Tindakan itu dibuat dalam satu kenyataan bersama menerusi satu video tular di media sosial berdurasi kira-kira 1 minit 30 saat membabitkan ADUN Kunak, Norazlinah Arif, Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).

“Kepada semua ahli dan penyokong parti warisan khususnya dan rakyat sabah amnya
setelah perhalusi pelbagai aspek dari segenap sudut pertimbangan termasuklah selepas mengambil kira hala tuju gabungan parti dan pandangan akar umbi yang kami wakili,

“Maka kami dengan ini mengisytiharkan keluar parti Warisan dan memilih berkhidmat sebagai ADUN bebas serta menyatakan sokongan kepada negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri,” kata Norazlinah yang mewakili dua lagi ADUN terbabit.

Tambahnya tindakan itu dibuat dengan harapan agar ketiga-tiga mereka dapat meneruskan khidmat baik kepada masyarakat di kawasan DUN mereka wakili.

Di akhir video itu juga Norazlinah merakamkan penghargaan terima kasih dan memohon maaf kepada rakan-rakan dan penyokong parti termasuk presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Dengan itu kami melepaskan semua jawatan dalam parti sama ada di peringkat bahagian atau di peringkat ahli majlis tertinggi kami berpandangan sudah tiba masanya politik-politik atau sebarang tindakan untuk mewujudkan ketidakstabilan kepada kerajaan perlu dihentikan.” katanya lagi di akhir video tular itu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 lalu, Mohammad menang dengan undi 1,773; Chen Bin (7,206); manakala Norazlina (3,861) dan Warisan menang 29 kerusi DUN pada PRN terbabit.

Daripada 73 jumlah keseluruhan kerusi DUN Sabah, Warisan kini hanya memiliki 16 kerusi DUN ketika ini selepas 3 ADUN terbabit bertindak keluar parti.

Loading...
Terkini