comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Seorang lagi ADUN WARISAN keluar parti

 

 

KOTA KINABALU: Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan (WARISAN) mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), hari ini.

ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari adalah wakil rakyat WARISAN yang keempat mengambil tindakan itu selepas Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) yang membuat pengumuman awal bulan ini.

Pada sidang media yang turut dihadiri pengikut dan penyokongnya, di sini, petang ini, Ahmad Sah berkata keputusan itu mengambil kira situasi semasa dan tekadnya untuk membantu rakyat di kawasan yang diwakilinya.

Katanya, turut menyertai beliau keluar parti ialah sebahagian besar pemimpin dan ahli jawatankuasa (AJK) WARISAN bahagian Putatan yang diketuainya sebelum ini.

“Saya bersama semua AJK bahagian, ketua wanita, ketua wirawati, AJK wira serta keseluruhan 90 cawangan WARISAN di Putatan mengumumkan meninggalkan WARISAN dan menyertai Gagasan Rakyat pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.

Katanya, selama tiga bulan beliau memikirkan hasrat meninggalkan WARISAN sebelum nekad mengambil keputusan itu serta memaklumkan hasrat menyertai Gagasan Rakyat kepada Hajiji.

Ahmad Sah yang juga bekas Ketua Penerangan WARISAN berkata, beliau tiada keraguan berhubung tindakannya itu, malah menyifatkannya sebagai tepat kerana memikirkan usaha membantu rakyat di Petagas.

“Saya bukan orang kaya, sebagai ADUN saya juga tiada masalah teruskan politik saya. Tapi dua tahun setengah lagi dan umur saya juga sudah 63 tahun, saya perlu fikir masalah rakyat, masalah pemimpin parti, jentera parti dan rakyat yang beri kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Jadi atas dasar itu saya nekad keluar dan sertai Gagasan Rakyat. Saya jumpa Hajiji dua kali dan terakhir pada Jumaat lalu mengenai kerjasama dengan Gagasan Rakyat di kawasan Petagas, selain di Tanjung Aru,” katanya.

Beliau turut menekankan keikhlasannya menyertai Gagasan Rakyat tanpa meminta atau mengharapkan sebarang balasan atau imbuhan seperti didakwa pihak lain terhadap bekas pemimpin WARISAN yang keluar parti sebelum ini.

“Saya bukan tanya berapa duit atau apa pangkat yang dia (Hajiji) bagi saya. Saya ikhlas dan saya tidak paksa pengikut saya ikut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tidak mahu memburukkan mana-mana pihak kerana yang penting adalah memastikan rakyat dapat dibantu dan dibela.

Loading...
Terkini