comscore
Tumpuan :
Nasional

Walaupun disita SPRM, urusan berjalan seperti biasa di Menara Ilham

Tinjauan di Menara Ilham mendapati urusan berjalan seperti biasa. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Menara Ilham di Jalan Binjai, di sini yang dikatakan milik keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, menjadi tumpuan selepas dilaporkan disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Isnin lalu.

Tinjauan di bangunan 60 tingkat itu bagaimanapun tidak menemukan apa-apa notis mengenai perintah sitaan atau sebarang tali pita larangan dipasang dan tiada juga kawalan oleh pihak berkuasa, selain tiada halangan keluar masuk ke premis terbabit.

Pekerja di bangunan terbabit ketika ditanya mengenai perintah SPRM itu, mendakwa tidak ada sebarang arahan untuk mengosongkan premis atau sebarang makluman dibuat kepada mereka berkaitan perkara berkenaan.

“Saya tak tahu mengenai perintah sitaan, urusan macam biasa, tidak ada isu,” katanya.

Semalam, Buletin TV3 melaporkan bangunan Menara Ilham yang dikaitkan dengan tokoh korporat dan bekas menteri disita SPRM.

Ia dipercayai ada kaitan dengan siasatan kes rasuah dan penyelewengan.

Notis penyitaan bertarikh 18 Disember disiarkan melalui ruangan pemberitahuan sebuah portal berita dalam talian.

Notis ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib ditujukan kepada Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Arahan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah.

Individu yang tidak mematuhi notis akan disiasat mengikut Seksyen 38(5) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda tidak melebihi dua kali ganda nilai harta berkenaan atau RM50,000, mana lebih tinggi dan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Buletin TV3 turut mengesahkan perkara itu.

Pada Mei lalu, SPRM dilapor menyiasat seorang tokoh korporat berhubung penyelewengan dana negara bernilai lebih RM 2.3 bilion, kesinambungan pendedahan dokumen sulit oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) berhubung transaksi disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Siasatan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta, antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan dan dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri serta ahli keluarga mereka.

Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.

Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata, siasatan itu bertumpu kepada kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini