comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Wanita hamil dipaksa telan pil gugurkan kandungan’ – Mangsa sindiket

Sally (kanan) dan suami John (kiri) diselamatkan MHO daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar. – Foto: NSTP

SEPANG: Seorang mangsa sindiket penipuan pekerjaan bersyukur diselamat awal oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) selepas menyedari ditipu dan dibawa ke Myanmar untuk dijadikan sebagai scammer.

Sally (bukan nama sebenar) yang berusia 20-an berkata jika terlambat dan terlepas kepada pihak sindiket pasti bayi dalam kandungannya diarah digugurkan.

“Saya diberitahu pihak MHO wanita mengandung yang dijadikan scammer akan diarah menelan pil bagi menggugurkan kandungan kerana mereka tidak mahu berdepan masalah bagi memastikan pekerja memberi tumpuan kepada tugas,” katanya yang hamil lima bulan.

Mengimbas pengalaman perit itu, Sally berkata, dia bersama suaminya John (bukan nama sebenar) 30-an dan seorang lagi rakan, Vincent, 28, berlepas ke Bangkok, Thailand pada 16 Oktober lalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru secara sah.

Katanya, keseluruhan kos perjalanan ditanggung oleh ejen sindiket yang dikenali melalui laman Facebook.

“Kami tertarik dengan gaji tinggi diiklankan pihak sindiket yang kononnya menawarkan RM15,000 dengan penambahan komisyen sebanyak 25 peratus setiap bulan sebagai pegawai khidmat pelanggan di Thailand.

“Saya dan suami mengambil keputusan menerima tawaran lumayan itu untuk menambah pendapatan bagi menyambut kehadiran anak sulung tidak lama lagi,” katanya lagi.

Sementara itu, Vincent berkata selepas tiba di Bangkok mereka diterbangkan ke Chiang Rai, sebelum dibawa ke Mea Sai menaiki Grab mengambil masa tiga jam perjalanan dan ditempatkan di sebuah hotel.

Keesokan harinya,  mereka dibawa dengan dua motosikal dan melintasi sebuah sungai di Taichileik, Myanmar lalu ditempatkan di sebuah stor buruk sebelum diserahkan kepada pihak sindiket.

“Ketika dalam perjalanan saya mulai curiga kerana jalan yang dilalui itu sangat teruk dan tidak sempurna lalu membuka navigasi GPS bagi mengesan lokasi dan terkejut apabila mendapati berada di Myanmar,” katanya.

Vincent berkata, selepas tahu berada di Myanmar dan mengesyaki akan dijadikan scammer dia menghubungi MHO bagi mendapatkan bantuan kerana sebelum ini pernah terbaca di akhbar menyatakan pertubuhan ini membantu menyelamatkan rakyat Malaysia yang ditipu sindiket pekerjaan di negara itu.

Semalam, tiga sahabat ini dibawa pulang dari Bangkok,Thailand dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 4.30 petang disambut Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.

Loading...
Terkini