comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket ‘pasport terbang’ tumpas

JOHOR BAHRU: Sindiket ‘pasport terbang’ tumpas dengan penahanan seorang wanita tempatan yang dipercayai dalang sindiket itu, semalam.

Pengarah Imigresen Johor Baharuddin Tahir berkata, wanita berusia 47 tahun itu ditahan menerusi Ops Serkap pada jam 6 petang di Taman Nusa Bistari, di sini.

Katanya penahanan wanita terbabit adalah hasil risikan selama dua minggu oleh Unit Risikan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia JIM Johor.

“Wanita itu disyaki menjadi dalang utama sindiket pemalsuan dokumen (pasport China), kegiatan ini dipercayai sudah beroperasi kira-kira tiga bulan lalu.

“Hasil serbuan oleh sepasukan pegawai Unit Risikan di sebuah petak parkir turut menahan seorang lelaki warga China berusia 34 tahun, yang dipercayai sebagai orang tengah sindiket.

“Sindiket ini mengenakan bayaran sehingga RM500 bagi setiap satu pasport yang diproses,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Baharuddin, turut disita sebuah kenderaan jenis Toyota Mark X berwarna putih.

Katanya sebanyak lima buah pasport China dan wang tunai berjumlah RM12,100 turut dirampas dalam operasi itu.

“Kami memandang serius terhadap kegiatan sindiket yang mengaut keuntungan dengan memalsukan dokumen berkaitan JIM.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengupah atau bersubahat melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kesemua mereka yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150 kerana tanpa kuasa yang sah),” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini