comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Wanita maut dalam kemalangan babitkan lori tangki dan kereta

SELANGAU: Seorang wanita maut manakala dua lagi cedera selepas terlibat kemalangan dua kenderaan di Jalan Stapang-Selangau di sini awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, pihaknya menerima pangilan kecemasan mengenai kejadian terbabit kira-kira jam 6.57 pagi tadi lalu mengarahkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau untuk ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah lori tangki dan sebuah kereta jenis Proton Saga.

“Terdapat seorang mangsa iaitu seorang wanita dewasa tersepit di tempat duduk belakang kereta terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata anggota terlibat bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan penyelamatan khas.

Bagaimanapun, mangsa telah disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Sekuau yang turut berada di lokasi kejadian.

“Dua lagi mangsa iaitu pemandu dan penumpang kereta Proton Saga itu telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Klinik Sekuau sebelum ketibaan anggota Bomba dari BBP Selangau manakala pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan selanjutnya.

Loading...
Terkini