comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Wanita warga emas maut dihempap pokok kekabu

Anggota BBP Baling membantu mengeluarkan wanita warga emas yang meninggal dunia selepas dihempap pokok kekabu di hadapan Sekolah Kebangsaan Pulai di Baling hari ini. Foto ihsan BBP Baling.

BALING: Seorang wanita warga emas maut selepas dihempap pokok kekabu di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai, di sini hari ini.

Mangsa, Rafiah Zakaria, 84, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah pada jam 3.49 petang.

Beliau berkata sepasukan anggota dari BBP Baling diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Samsari Ibrahim tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebatang pokok kekabu tumbang dan menghempap wanita warga emas terbabit,” ujarnya.

Menurut Mohd Jamil, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai pergi ke lokasi itu yang terletak berhampiran rumahnya untuk mengutip kekabu.


Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mohd Jamil berkata anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi memotong pokok berkenaan dan mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini