comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Samun pemandu teksi, wanita, tiga rakan direman seminggu

JASIN: Seorang wanita antara 4 ditahan, susulan kejadian samun berkumpulan ke atas pemandu teksi, di sebuah ladang kelapa sawit di sini semalam.

Suspek dipercayai menyewa perkhidmatan teksi dari Tampin, Negeri Sembilan sebelum bergerak ke Jasin.

Itu taktik empat sekawan terbabit sebelum merompak, memukul termasuk mencekik seorang pemandu teksi warga emas hingga pengsan.

Mereka turut melarikan barangan berharga milik mangsa kira-kira jam 2 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, berdasarkan laporan mangsa dan siasatan polis, kejadian berlaku selepas keempat-empat suspek menyewa teksi mangsa lelaki berusia 72 tahun di stesen Bas Tampin untuk ke daerah ini.

Katanya sebaik sampai di Jalan Parit Raja menghala ke Rim, iaitu kira-kira 100 meter dari jalan utama seorang daripada suspek lelaki menyuruh memberhentikan kereta di dalam kebun kelapa sawit dan terus mencekik leher pengadu dan memukulnya hingga tidak sedarkan diri.

“Sebaik tersedar, pengadu mendapati dirinya berada di semak kelapa sawit dalam keadaan berdarah dan cedera pada bahagian muka, lebam mata sebelah kiri dan bengkak bibir dan paha kiri.

“Pengadu juga mendapati dompetnya mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank dan wang tunai RM300 dilarikan.

“Selain itu, telefon bimbit, kunci rumah berserta teksi Proton Iswara warna merah bernombor pendaftaran WMF2866 turut hilang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, mangsa bekerja sebagai pemandu teksi sejak 2010 hingga kini dan mendapatkan rawatan di Hospital Jasin akibat kecederaan dialami.

Ahmad Jamil berkata, bertindak atas laporan polis menjalankan siasatan sebelum memberkas keempat-empat suspek berusia 26 hingga 39 tahun di sebuah hotel di Bukit Baru.

“Suspek pertama berusia 34 tahun bekerja sebagai penjual tisu dan memiliki 10 rekod jenayah dan narkotik.

“Suspek ketiga dan keempat berusia 30 tahun dan 39 tahun adalah pekerja am dan masing-masing memiliki lima dan tujuh rekod jenayah dan dadah.

“Wanita berusia 26 tahun itu pula seorang penganggur dan memiliki turut mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga 24 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan samun berkumpulan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini