comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas hilang empat hari ditemui mati

BATU PAHAT: Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas sejak Isnin lalu, akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di Kampung Sejagong, Sri Medan di sini, pagi tadi.

Mayat Subakir Latipan, 80, ditemui penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat, hampir tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Warga emas itu dilaporkan menunggang motosikal dari rumahnya di Parit Yusoff ke Sejagong, Sri Medan yang mengambil masa sejam.

Anak bongsunya, Hazli Subakir, 35, berkata berita menyedihkan itu diterima sekitar jam 9 pagi ketika dia sekeluarga menunggu dengan penuh harapan agar bapanya ditemui dalam keadaan selamat.

Menurutnya, dia sekeluarga mendapat berita menyedihkan itu apatah lagi ketika umat Islam dengan menyambut Ramadan.

“Maka, terjawablah selama empat hari kami mencari dan menanti penuh harapan. Kami dah reda atas pemergiaan ayah, semoga dia ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya lagi, dia sekeluarga masih menunggu laporan perubatan mengenai punca kematian ayahanya itu.

“Sama ada arwah ayah lemas atau sebagainya, itu saya tidak dapat pastikan. Malah, pada hari kedua ayah dilaporkan hilang, ada penduduk nampak kelibatnya. Itu saksi terakhir yang beritahu namun saya tidak dapat memastikannya,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat warga emas itu bermula Isnin lalu, dan hanya menemui sebelah selipar dan motosikal ditunggangnya dalam parit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini