comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut, cucu cedera dalam kemalangan

Penunggang motosikal warga emas maut dalam kemalangan dengan sebuah pikap berhampiran stesen minyak di Jalan Kuala Pegang, Parit Panjang, Baling, semalam. – FOTO: Ihsan pembaca

Oleh: Kumaran Rajamoney

BALING: Seorang warga emas maut dalam satu kemalangan di Kampung Mengkuang Masjid, Jalan Kuala Pegang-Parit Panjang dekat sini, sekitar jam 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat dalam satu kenyataan memaklumkan kemalangan melibatkan motosikal ditunggangi mangsa, Mohamad Norzizan Ismail, 61 dan dibonceng cucunya dengan sebuah kenderaan jenis pikap.

Siasatan awal di tempat kejadian katanya mendapati pikap itu sedang bergerak dari Kuala Pegang menghala ke Parit Panjang, manakala penunggang motosikal dari Hospital Baling menghala ke Sik.

“Mangsa dipercayai menghala ke Sik bagi menghantar cucu beliau di Kampung Kerawai. Motosikal ditunggang mangsa dipercayai tidak sempat memotong kenderaan pikap yang membelok masuk ke sebuah stesen minyak.”

“Motor mangsa telah melanggar di bahagian sisi kanan pikap di laluan bertentangan, mengakibatkan kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Cucunya mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini