comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Warga emas maut dirempuh lori selepas solat di masjid

Lokasi kemalangan maut di Jalan Persiaran Seroja, Bukit Sentosa, petang tadi.

HULU SELANGOR: Seorang lelaki warga emas yang dalam perjalanan pulang dari masjid maut selepas motosikal ditunggang dirempuh lori di Jalan Persiaran Seroja, Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa berusia 71 tahun baru selesai menunaikan solat Asar di Masjid Saidina Ali, Bukit Sentosa dan mahu pulang ke rumahnya di Taman Kesumba, Bukit Beruntung.

Setakat ini, identiti mangsa belum diketahui.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata ketika nahas jam 5.10 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal dirempuh lori yang membawa muatan kurier.

Lokasi kemalangan maut di Jalan Persiaran Seroja, Bukit Sentosa, petang tadi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu lori berusia 39 tahun tiba di tempat kejadian manakala penunggang motosikal dari lorong kiri memasuki lorong kanan.

“Lelaki warga emas itu kemudian dilanggar kenderaan berat itu dari arah belakang,” katanya menerusi satu kenyataan, malam ini.

Ahmad Faizal berkata, kemalangan mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Kuala Kubu Bharu.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan segera tampil membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, menerusi pemantauan di beberapa laman Facebook (FB) mendapati mangsa dikenali sebagai ‘Pak Mat Takbir’ dan selalu melaungkan kalimah itu selepas selesai solat Jumaat.

“Rupanya kali ini kali terakhir laungan (takbir) daripada beliau. Arwah telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya pada petang Jumaat bulan Syawal yang mulia ini.

“Semoga dipermudahkan segala urusan keluarga beliau. Salam takziah dan semoga tabah menerima ketentuan ini…Al-Fatihah,” kata hantaran di FB.

Loading...
Terkini