comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas maut dirempuh pacuan empat roda

Warga emas maut selepas dirempuh pacuan empat roda ketika melintas jalan di Kilometer 22, Jalan Lipis – Merapoh, dekat sini malam tadi.

Oleh Fazli Ahmad

KUALA LIPIS: Seorang warga emas maut selepas dirempuh pacuan empat roda ketika melintas jalan di Kilometer 22, Jalan Lipis – Merapoh, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 7:10 malam ketika pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dan dinaiki empat penumpang dalam perjalanan dari Padang Tengku ke Merapoh.

Katanya, ketika sampai di tempat kejadian pemandu terbabit melihat warga emas berkenaan melintas jalan dari arah kiri ke kanan dalam keadaan berlari.

Katanya lagi, pemandu terbabit cuba membrek kenderaannya tetapi gagal mengelak dan merempuh mangsa.

“Akibat kemalangan itu pejalan kaki dikenali Andi Aziz Berlian, 75, berasal dari Kampung Padang Lebak, Jln Pagar Sasak, Padang Tengku cedera parah dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk dirawat.

“Bagaimanapun pada jam 8:35 malam, mangsa meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lipis,”

“Hasil siasatan awal polis mendapati kemalangan disebabkan kecuaian warga emas terbabit ketika melintas jalan.” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pemandu dan semua penumpang pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Terkini