comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas meninggal dunia selepas hampir lima jam dirawat

FOTO: NSTP

MACHANG: Lelaki warga emas meninggal dunia selepas hampir lima jam menerima rawatan di Hospital Machang susulan kecederaan yang dialami akibat kemalangan di Kilometer 7, Jalan Machang-Tanah Merah berdekatan Wakaf Bata, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata mangsa, Nawi Ismail, 71, meninggal dunia jam 3.15 petang ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku jam 10.45 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menghala ke arah Machang.

“Setiba di lokasi kejadian, lori Isuzu yang dipandu lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai cuba memberhentikan lori dipandu daripada berlanggar dengan kenderaan di hadapannya.

“Akibat daripada itu, lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung secara berdepan dengan kereta Proton Iswara yang dipandu mangsa,” katanya.

Mohd Adli berkata, nahas menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Machang untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Dua penumpang Proton Iswara iaitu termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun turut dirawat di hospital sama, manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang gagal mengawal kenderaan dipandunya sehingga terbabas masuk ke laluan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Loading...
Terkini