comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga emas nafi buat hantaran hina Islam di FB

Ahmad Feisal Mohd Kamil, 61, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memulakan penghantaran komunikasi jelik yang menghina agama Islam berkaitan isu homoseksual. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang jurutera teknologi maklumat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen kerana membuat kenyataan menghina Islam berhubung isu homoseksual menerusi Facebook, Januari lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Feisal Mohd Kamil, 61, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, N Priscilla Hemamalini.

Warga emas itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik di Facebook ‘Feisal Kamil’, pada jam 12.17 tengah hari, 10 Januari lalu, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Penghantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ di sini, pada jam 1.45 tengah hari, 12 Januari lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

OKS juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan jika sabit kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal, memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan OKS dilarang membuat sebarang hantaran hingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam bela OKS, Muhammad Sufyan Wafiq Mohd Zainal, meminta jaminan dikurangkan atas alasan anak guam penanggung tunggal keluarga.

“Anak guam juga ada masalah kewangan selepas ditipu semasa menguruskan penempatan anaknya yang belajar di Perancis,” katanya.

Hakim membenarkan OKS diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Disember depan.

Loading...
Terkini