comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga kota kembali: PDRM, PLUS aktifkan laluan pintar  

FOTO: Lembaga Lebuhraya Malaysia.

KUALA LUMPUR:  Polis Diraja Malaysia dan PLUS Berhad (PLUS) mengaktifkan dua laluan pintar di Lebuh Raya Utara Selatan berikutan pergerakan kenderaan kembali ke Lembah Klang selepas cuti umum sempena Aidilfitri.

Dua laluan itu membabitkan Kilometer (KM) 259 persimpangan Port Dickson hingga KM263 persimpangan Seremban arah utara dan KM19 persimpangan Senai hingga KM27 persimpangan Kulai arah utara.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim dalam satu kenyataan berkata, aliran kenderaan tinggi dari arah selatan, utara dan timur menuju ke ibu kota menyebabkan kesesakan di beberapa tempat seperti kawasan mendaki dan penukaran tiga kepada dua lorong.

“Petugas JSPT berada di lokasi ‘panas’ di lebuh raya, jalan Persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran yang berlaku kesesakan ke ibu kota.

“Ini termasuk elemen keanggotaan dan unit dron diatur gerak secara sistematik bagi memastikan aliran trafik lancar serta terkawal”, ujarnya.

Laluan pintar itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan semua laluan termasuk membuka ruang paling kiri sebagai laluan sementara untuk menambah kapasiti lorong dan membantu melancarkan aliran trafik.

Mat Kasim berkata, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan atau kesesakan luar biasa kepada bilik gerakan trafik Bukit Aman di talian 03-22663356 yang beroperasi 24 jam.

Sementara itu, JSPT menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, 1,381 kemalangan membabitkan 2,072 kenderaan pelbagai jenis pada hari keempat Op Selamat 20 di seluruh negara, semalam.

Katanya, kereta mencatat angka tertinggi kemalangan iaitu 1,528 atau 73.7 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan semalam.

“Ia diikuti motosikal (256), kenderaan pacuan empat roda (122), kenderaan pelbagai guna (102 kes), van (43), lori (13), bas (lima) dan tiga kes kemalangan membabitkan teksi,” katanya.

JSPT turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk sentiasa peka semasa pemanduan bagi mengelak risiko kemalangan.

Op Selamat 20 dilaksanakan tujuh hari bermula 20 April lalu bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.

Loading...
Terkini