comscore
Tumpuan :
Nasional

Wisma Putra sahkan lelaki warganegara Malaysia ditahan di Norway 

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Wisma Putra mengesahkan penahanan seorang lelaki dipercayai warganegara Malaysia di Norway atas kesalahan melakukan aktiviti pengintipan.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu disahkan Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm.

“Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan di Oslo, Norway untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes ini,” ujar kenyataan itu.

“Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan akan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya sekiranya diperlukan”.

Berita berkaitan: Pelajar Malaysia ditahan di Norway kerana aktiviti pengintipan

Menerusi laporan media, seorang pelajar negara ini yang berusia 25 tahun ditahan pihak berkuasa tempatan Norway kerana didakwa mengintip, termasuk mencuri dengar secara haram melalui pelbagai peranti teknikal.

Lapor media tempatan, agensi perisikan polis Norway dikenali sebagai PST, mendakwa lelaki berkenaan cuba mengintip pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan dan pejabat kerajaan lain di Oslo.

PST memberitahu Norwegian Broadcasting (NRK) bahawa suspek yang ditahan pada Jumaat lalu, sudah didakwa di mahkamah kelmarin, berikutan tindakannya melakukan operasi pengintipan dan risikan terhadap negara itu.

Lelaki yang tidak didedahkan identitinya, mengaku tidak bersalah ketika sesi soal jawab oleh pihak polis manakala pihak berkuasa Norway pula tidak menyatakan lelaki itu mengintip bagi negara mana.

Polis turut merampas beberapa barangan daripada pelajar terbabit termasuk peranti pembawa data elektronik yang sedang disiasat oleh PST.

Menurut PST, pelajar itu tidak mendaftar di institusi pendidikan di Norway dan menetap di negara berkenaan dalam jangka masa singkat.

Mengikut waran tangkap yang dikeluarkan, NRK berkata suspek didakwa ditahan ketika sedang melakukan pengawasan isyarat haram di dalam sebuah kereta sewa berhampiran pejabat Perdana Menteri Norway dan Kementerian Pertahanan.

Dia kemudian didakwa atas tuduhan ‘signaletterretning’, yang menurut portal NewsInEnglish berpangkalan di Oslo, adalah terma Norway merujuk kepada pengumpulan maklumat menggunakan peranti isyarat elektronik.

Ia termasuk mencuri dengar isyarat elektronik seperti perbualan menerusi telefon bimbit dan teks pesanan.

Mahkamah memutuskan supaya lelaki itu dipenjarakan selama empat minggu, sementara tempoh tahanan pra-perbicaraan, dengan larangan menerima surat dan lawatan.

Loading...
Terkini