comscore
Tumpuan :
Nasional

YDP MPKPs baharu azam kurangkan bebanan tunggakan cukai taksiran negeri cecah RM26 juta

Bekas Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth menandatangai dokumen sebagai YDP MPKPs yang baharu di hadapan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli di Kompleks DUN Perlis, Kangar hari ini.-Foto: NSTP

KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) memberi keutamaan untuk meningkatkan hasil kepada negeri terutama melalui kutipan bayaran hasil tunggakan cukai taksiran negeri yang mencecah RM26 juta.

Yang Dipertua (YDP) MPKPs yang baharu, Affendi Rajini Kanth berkata antara keutamaannya adalah memastikan hasil kutipan cukai meningkat berbanding sebelum ini.

“Jika dinilai sebelum ini, anggaran kutipan cukai yang berjaya dikutip adalah sekitar RM30 juta dengan kita menyasarkan peningkatan 10 peratus pada tahun ini,” katanya.

Ujar Affendi, pihaknya sudah menemui formula bagi mencapai sasaran itu.

Affendi yang juga bekas pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kedah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengakuan Menerima Jawatan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Katanya, beliau turut mengariskan 31 perkara untuk dilaksanakan bersama MPKPs dalam memastikan PBT (pihak berkuasa tempatan) itu kukuh dari segi kewangan dalam menjalankan tugasan perbandaran.

“Ini adalah satu tangggungjawab besar kerana kita menuju negeri maju dan kita juga mahu MPKPs sebagai entiti perniagaan yang mana kita perlu mencari keuntungan dan pendapatan kepada negeri.”

“Malah, ini penting supaya negeri berada dalam keadaan stabil daripada segi kewangan dan apa yang penting di sini adalah negeri menjadi keutamaan, kedua adalah MPK dan bukannya mengutamakan diri sendiri,” katanya.

Affendi yang sudah pun memulakan tugasnya sejak dua minggu lalu menggantikan YDP MPKPs terdahulu, Norazlan Yahaya yang tamat tempoh kontrak perkhidmatan.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Turut hadir, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Majlis MPKPs.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini