comscore
Tumpuan :
Nasional

Zahid ketuai HLC cungkil bakat sukan tempur, olahraga dan renang 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di Putrajaya. – Foto NSTP

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) yang ditubuhkan kerajaan mampu untuk mempertingkatkan prestasi sukan negara dengan menumpukan kepada model pembangunan bakat dalam tiga bidang sukan, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang yang juga Pengerusi HLC berkata, penubuhan HLC bertujuan memastikan negara tidak ketinggalan dan seiring dengan negara yang mempunyai pembangunan sukan maju khususnya dalam sukan banyak menawarkan pingat iaitu sukan tempur, renang dan olahraga.’

“HLC akan memberi tumpuan kepada model pembangunan bakat bagi sukan tempur, olahraga dan renang dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, dalam mesyuarat JKPS hari ini selepas kali terakhir diadakan pada 2014, banyak perkara diputuskan berkait  beberapa perkembangan terkini sesuai dengan kehendak semasa dalam bidang sukan.

“Mesyuarat ini berperanan untuk menyelaras dan memperkemas sistem penyampaian inisiatif dan program pembangunan sukan. Ia termasuklah memperkukuhkan kerjasama pelbagai sektor bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan (sporting nation),”’ katanya.

Antara perkara lain dibincangkan dalam mesyuarat JKPS ialah semakan semula keanggotaan, terma rujukan dan tatakelola JKPS serta prestasi kontinjen negara di Sukan Sea Kemboja dan cadangan pelaksanaan program penyediaan atlet ke arah Sukan Sea 2025 dan Sukan Sea 2027.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai HLC, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jawatankuasa itu diwujudkan berikutan perbincangan hasil keputusan Sukan Sea Kemboja apabila kerajaan melihat sukan yang cemerlang adalah sukan tempur yang banyak menyumbang emas manakala banyak pingat terlepas dalam olahraga dan renang.

“Jadi, strategi kita kena bertukar, itu sebab Timbalan Perdana Menteri sudah bersetuju untuk pengerusikan HLC antara tiga kementerian iaitu KBS, KPM dan KPT.

“Ini bagi memastikan ada penyelarasan untuk cungkil bakat dan kita tidak terlepas bakat muda dan akan fokus kepada tiga sukan ini.

“Menerusi penglibatan Timbalan Perdana Menteri, proses reformasi ini akan berjalan dengan baik dan pelan pembangunan bakat baharu terutama dalam sukan yang menyumbang banyak pingat (olahraga, renang) akan ada perubahan berlaku,” kata Hannah.

Hannah berkata, mesyuarat turut bersetuju untuk mempelawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membiayai program sukan, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan melalui penglibatan pelbagai pemegang taruh terutama pihak GLC.

Loading...
Terkini