comscore
Tumpuan :
Negeri

[VIDEO] Program CSI beri peluang kedua buat 850 banduan di Kelantan

Tuan Zainal menyampaikan sijil penghargaan kepada majikan yang bekerjasama bawah program CSI sambil diperhatikan oleh Mat (dua dari kiri). – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Seramai 850 banduan dari empat penjara di negeri ini sudah diambil bekerja bawah program ‘Corporate Smart Internship (CSI)’, tahun ini.

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob, berkata banduan diambil bekerja itu terdiri daripada mereka yang menjalani Sistem Parol dan Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).

“Setakat ini, kita menjalinkan kerjasama dengan 21 majikan atau syarikat dalam program CSI, dan sebanyak 300 peluang pekerjaan disediakan.

“Seramai 280 banduan bekerja ketika ini dengan menerima gaji minimum dan segala kemudahan, termasuk tempat tinggal disediakan majikan bawah kelulusan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Antara sektor pekerjaan disediakan ialah di bengkel motosikal atau kereta, perkilangan, ladang dan spa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Outreach Memperkasa Komuniti Koreksional ‘We Care’ Peringkat Penjara Kelantan yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pengurusan), Datuk Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mat menjelaskan, bukan semua banduan layak menyertai program CSI bermula 2008 itu, sebaliknya ia tertakluk kepada peraturan penjara dan akta kesalahan yang dilakukan. Contohnya, ia tidak dibuka kepada banduan akhir atau reman.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak permohonan daripada syarikat untuk bekerjasama melalui program itu, malah 50 syarikat berada dalam senarai menunggu kini.

“Program CSI yang diperkenalkan ini sangat bermanfaat kerana dapat memberi pendedahan kepada banduan, sekali gus membantu mengubah hidup mereka.

“Bawah program ini, kadar residivis atau jenayah berulang dalam kalangan banduan bekerja adalah sangat rendah, iaitu empat peratus saja berbanding 15 peratus bagi yang tidak menyertai CSI,” katanya.

Sementara itu, Tuan Zainal Abidin berkata, program CSI adalah usaha penting bagi membantu bekas banduan meneruskan hidup mereka sebaik saja dibebaskan dari penjara.

“Jalinan antara pihak penjara dengan syarikat adalah sangat penting bagi memastikan program pembangunan insan sebegini dapat diteruskan dalam usaha membantu memberi sinar baharu kepada bekas banduan.

“Kerjasama strategik sebegini juga membantu pihak penjara memposisikan dasar dua per tiga banduan berada di luar penjara untuk menjalani program komuniti, sekali gus mengurangkan kesesakan dalam penjara,” katanya.

Loading...
Terkini