comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bapa dituduh rogol anak kandung

Oleh: Mohd Ishak Abdillah

KEMAMAN: Seorang pekerja pemungut sampah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 13 tahun, hujung September lalu, di daerah ini.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 36 tahun itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak itu di sebuah rumah di Jalan Mak Chili, kira-kira pukul 8 pagi, pada 29 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada hari, masa dan tempat yang sama, didakwa melakukan amang seksual fizikal.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati dan menggangu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini