comscore
Tumpuan :
Politik

5 ADUN sokong Hajiji: UMNO Sabah belum kemuka usul kepada Lembaga Disiplin

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat UMNO Sabah di bangunan UMNO Sabah malam ini. Foto NSTP

KOTA KINABALU: UMNO Sabah belum mengemukakan usul kepada Lembaga Disiplin berhubung tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ini kerana terdapat beberapa proses perlu diikuti sebelum membuat usul berkenaan.

“ADUN UMNO yang membelakangkan keputusan parti itu tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam kepimpinan bahagian, kecuali seorang berjawatan sebagai Timbalan Ketua Bahagian.

“ADUN lain hanya anggota biasa dan ada yang sudah dikenali sebagai pemimpin yang sering bertukar parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 6 Januari lalu, Bung Moktar mengumumkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menarik balik sokongan kepada pentadbiran bawah pimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Namun, lima ADUN daripada UMNO Sabah enggan menyokong langkah itu. Mereka adalah Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tuaran, Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat); Datuk James Ratib (Sugut); Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Bung Moktar kemudian turut mendakwa pelantikan Shahelmey sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah yang baharu, serta James sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, sebagai tidak mewakili UMNO serta tidak diiktiraf oleh UMNO Sabah. – BERNAMA

Loading...
Terkini