comscore
Tumpuan :
Politik

74 calon rebut jawatan ahli MKT UMNO

KUALA LUMPUR : Seramai 74 pencalonan diterima bagi merebut jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan parti itu bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, daripada jumlah itu, 55 daripadanya adalah calon muka baharu.

“Manakala bagi EXCO Wanita pula, 39 muka baharu daripada 55 pencalonan dan untuk Pemuda, seramai 44 muka baharu daripada 45 orang yang sudah mengesahkan pencalonan masing-masing,” katanya dipetik menerusi portal UMNO Online.

Sebanyak 25 jawatan Ahli MKT perlu diisi bagi pemilihan UMNO kali ini.

Shahrir berkata, keseluruhannya seramai 270 calon mengesahkan bertanding merebut jawatan di peringkat pusat merangkumi Ahli MKT, EXCO wanita, pemuda serta puteri, dengan sebahagian besar calon terdiri daripada muka baharu.

“Kami jangka jumlah calon yang mendaftar akan meningkat lagi mulai hari ini sehingga ke hari Ahad apabila ditutup pendaftaran. Sehingga semalam, 11,369 calon sudah pun mendaftarkan diri untuk bertanding di peringkat pusat dan juga bahagian di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, ini menunjukkan sambutan diterima amat menggalakkan dan petanda baik kepada proses demokrasi di dalam UMNO, selain berharap mereka yang ingin menawarkan diri untuk bertanding segera menghantar borang pencalonan masing-masing.

“Secara keseluruhan, sambutan menggalakkan di seluruh peringkat bahagian dan kita hanya akan tahu secara tepatnya pada 26 Februari (Ahad) nanti apabila tarikh pencalonan tamat. Apa pun, Alhamdulillah proses pendaftaran di peringkat bahagian juga berjalan lancar dan kita berpuas hati,” katanya.

Loading...
Terkini