comscore
Tumpuan :
Nasional

UMNO setuju minta kerajaan tubuhkan segera Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: UMNO bersetuju meminta kerajaan untuk segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia bagi memastikan aspek kebajikan dan hak pekerja ekonomi gig di negara ini sentiasa terpelihara.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketetapan itu sebulat suara dicapai dalam mesyuarat majlis kerja tertinggi (MKT) yang diadakan di Menara Dato Onn ibu negara malam ini.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bermula kira-kira jam 8.30 malam.

Ia dihadiri beberapa pemimpin UMNO, antaranya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin.

Terdahulu, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) menyerahkan memorandum Permohonan Tuntutan Rakan-rakan Penghantar Syarikat Penyedia Perkhidmatan Barang dan Makanan (P-Hailing) Grab Food Malaysia kepada Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ia bertujuan meminta UMNO campur tangan dalam isu kadar upah pengambilan dan penghantaran barang dan makanan.

Timbalan Presidennya, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, pendapatan penghantar P-Hailing terjejas akibat pengenalan skim baharu kadar upah pengambilan dan penghantaran barang dan makan sejak 16 Januari lalu.

“Syarikat pengendali perkhidmatan penghantaran P-Hailing perlu mengembalikan semula kadar upah sebanyak RM5 untuk 2 kilometer (km) pertama bagi Lembah Klang dan bandar utama.Skim baharu yang diperkenalkan syarikat P-Hailing tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada penghantar menyebabkan penghantar kehilangan RM1 bagi setiap 2 km pertama”, katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan syarikat P-Hailing yang terus mendaftar penghantar baharu sedangkan ia tidak selari dengan kadar pesanan yang rendah ketika ini.

“Sepatutnya syarikat P-Hailing membekukan pengambil baharu penghantar.Mereka kata kadar pesanan terjejas, tapi kenapa masih buka pendaftaran baharu,” tambahnya.

Loading...
Terkini