comscore
Tumpuan :
Politik

BN belum ada calon TPM, kata Joseph Kurup

Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) belum mempunyai calon bagi mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri, kata Naib Pengerusinya, Tan Sri Joseph Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

“Belum lagi… maaf saya tidak mahu spekulasi,” katanya ringkas kepada BH melalui pesanan WhatsApp.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diwujudkan bawah Kabinetnya dalam kalangan wakil komponen kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, ia akan diisi oleh wakil masing-masing daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Selepas kemelut pelantikan Perdana Menteri berlarutan selama lima hari susulan tiada gabungan parti yang memperoleh majoriti mudah pada pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Presiden PKR itu akhirnya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, semalam.

Anwar akan memimpin kerajaan perpaduan yang sehingga kini dianggotai oleh BN, GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Perikatan Nasional (PN) bagaimanapun menolak untuk menyertai kerajaan perpaduan dan akan tampil sebagai pembangkang di Parlimen kelak. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini