comscore
Tumpuan :
Politik

DAP Sedia Bekerjasama Dengan Mana-Mana Parti Untuk Bentuk Kerajaan Perak

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming. Foto: NSTP

Selepas Parti Amanah Rakyat (Amanah) menyatakan kesediaan bekerjasama dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan baharu di Perak, hari ini DAP, satu lagi parti komponen Pakatan Harapan (PH), menyuarakan perkara sama.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata ini termasuk bekerja dengan UMNO demi kepentingan rakyat.

“DAP Perak sedia bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO yang boleh membantu menubuhkan sebuah kerajaan pelbagai bangsa yang kukuh dan stabil,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada media.   

Nga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong berkata sehubungan itu, beliau terbuka kepada sebarang bentuk perbincangan yang membina.

Semalam, Pengerusi Amanah Perak Datuk Asmuni Alwi dilaporkan berkata “tiada yang mustahil” dalam soal itu.

Terdahulu hari ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan membentuk gabungan dengan PH termasuk DAP bagi membentuk kerajaan baharu di negeri ini.

Kemelut politik Perak bermula selepas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal meraih sokongan majoriti ADUN dalam usul undi percaya kepada MB yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Jumaat lepas.

Pengerusi Bersatu Perak itu hanya menerima 10 undi berbanding 48 yang tidak menyokong beliau sebagai menteri besar sementara seorang ADUN berkecuali.

Semalam, Ahmad Faizal dilapor berkata beliau telah mempersembahkan surat peletakan jawatannya serta barisan Exco kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang memperkenankan perkara itu hari ini. – Bernama

Loading...
Terkini