comscore
Tumpuan :
Politik

Gobind menang majoriti undi paling besar

Ahli Parlimen Damansara yang juga Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo menang dengan majoriti 124,619 undi.

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan semalam menyaksikan beberapa calon yang bertanding terutamanya atas tiket Pakatan Harapan (PH) menang dengan majoriti besar sekali gus meninggalkan pesaing terdekat mereka dalam keadaan selesa.

Antara yang dilihat menang majoriti besar adalah Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo menang bergaya di kerusi Parlimen Damansara seterusnya mencipta sejarah dengan menang majoriti sebanyak 124,619 undi sekali gus meninggalkan pesaing terdekatnya daripada Perikatan Nasional (PN) yang mendapat undian sebanyak 18,256 undi dan calon BN, Tan Gim Tuan Gt yang hilang wang deposit apabila hanya mendapat 13,806 undi.

Selain itu, calon PH lain yang menang majoriti besar ialah Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau yang menang majoriti sebanyak 91,801 undi, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang bertanding Parlimen Kota Raja dengan majoriti 73,998, Syahredzan Johan (Bangi) (69,701 undi) dan Cha Kee Chin (Rasah) dengan 61,987 undi.

Malah tindakan PH dan Perikatan Nasional (PN) yang memperkenalkan beberapa calon baharu turut membuahkan hasil apabila antara nama berkenaan memenangi kerusi yang dipertandingkan.

Walaupun sebagai calon muka baharu, namun Adam Adli yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR itu memang tidak asing dengan kerja aktivisnya.

Adam Adli yang bertanding sebagai calon PH di Parlimen Hang Tuah Jaya, Melaka itu menang dengan majoriti 8,638 undi selepas mendapat 39,418 undi sekali gus meninggalkan tiga pesaingnya.

Selain itu, Syahredzan yang juga Setiausaha Politik kepada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang adalah antara muka baharu yang diperkenalkan dalam PRU15 kali ini, turut memenangi kerusi Parlimen Bangi dengan majoriti 69,701 undi.

Muka baharu dalam Parlimen pula adalah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari dari DAP, Young Syefura Othman atau lebih mesra disapa Rara itu memenangi kerusi Parlimen Bentong dengan majorititipis iaitu 692 undi meninggalkan pesaing terdekatnya dari Barisan Nasional iaitu bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai.

Malah, dalam pertembungan lima penjuru di P089 itu, Rara turut melawan rakan dalam DAP yang juga penyandang Parlimen berkenaan, Wong Tack, yang bertanding atas tiket Bebas.

Pada PRU14, Wong Tack memenangi kerusi itu selepas menewaskan Tiong Lai dengan lebih 2,000 undi.

PRU15 turut membuat kejutan apabila beberapa nama besar dan pemegang kerusi Parlimen melebihi lima penggal dilihat jatuh tersungkur.

Tengku Razaleigh Hamzah, antara pemimpin paling lama menjadi Ahli Parlimen di Malaysia, akhirnya kecundang pada PRU kali ini di Parlimen Gua Musang.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu ‘memegang’ Gua Musang sejak puluhan tahun lalu dan ‘takhta’ yang dipegang itu dirampas oleh calon PAS, Mohd Azizi Abu Naim, dengan majoriti tipis 163 undi.

Selain itu, penyandang Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula terpaksa melepaskan kerusi berkenaan kepada Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dari Perikatan Nasional (PN) dengan 16,002 undi.

Radzi merampas kerusi berkenaan dengan majoriti 2,310 undi sekali gus meleburkan impian Tengku Adnan untuk mengetuai Parlimen terbabit untuk penggal kelima. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini