comscore
Tumpuan :
Politik

Jangan tunggu PRK, buat perubahan sekarang – Mahfuz

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan pilihan raya negeri (PRN) adalah masa terbaik untuk melakukan perubahan dalam memastikan kerajaan negeri yang dibentuk akan dipimpin Menteri Besar yang tidak bermasalah.

Jelasnya, Perikatan Nasional (PN) mempromosikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai calon Menteri Besar gabungan itu meskipun beliau berhadapan kes mahkamah dan tindakan perundangan lain.

“Beliau berhadapan banyak tuntutan saman daripada pelbagai pihak kerana tidak bercakap dengan bersandarkan fakta. Ini termasuk membuat penghinaan terhadap Sultan Selangor dalam ucapan sehingga dituduh di mahkamah.

Akhirnya, kalau beliau didapati bersalah terutama dalam kes jenayah, kita terpaksa berhadapan pilihan raya kecil (PRK). PRN ini masa yang terbaiklah untuk buat perubahan,” katanya.

Rakyat katanya perlu membuat pilihan yang tepat dalam menebus maruah negeri dan Sultan Kedah yang telah tercalar akibat daripada kenyataan berunsur penghinaan yang dibuat Muhammad Sanusi terhadap Sultan Selangor.

Tambahnya, gabungan PH-Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan di peringkat persekutuan telah membuktikan berjaya membawa perubahan pentadbiran yang lebih baik.

“Kita di Kedah mengambil semangat sama. Manifesto kita yang utama adalah mengkaji kadar sewa premis perniagaan selain membatalkan notis penghentian perniagaan sementara yang diberikan kepada penjaja.

Kerajaan ini kononnya memperjuangkan Melayu, namun Ukir Mall yang dibina untuk peniaga Bumiputera terbiar. Kerajaan PH-BN akan menyemarakkan semula ekonomi peniaga di bangunan itu,” katanya.

Beliau yakin gabungan PH-BN di Kedah mempunyai kekuatan di 16 kerusi dewan undangan negeri (DUN), dan memerlukan hanya 3 lagi kerusi bagi membentuk kerajaan di negeri itu.

Loading...
Terkini