comscore
Tumpuan :
Nasional

Rasuah KFA: SPRM dalam peringkat akhir lengkapkan siasatan

Kenderaan membawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meninggalkan ibu Pejabat SPRM selepas memberi keterangan berkaitan isu kes rasuah Persatuan Bola Sepak di Negeri Kedah. – FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini di peringkat akhir bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Pengarah Kanan Siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini pagi tadi bagi melengkapkan kertas siasatan itu.

“Butiran terperinci berkaitan siasatan itu tidak dapat didedahkan kepada umum kerana ia mengandungi maklumat sensitif dan rahsia,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Muhammad Sanusi selesai memberi keterangan kepada SPRM selepas hampir tiga jam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kenderaan membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 8.30 pagi sebelum dilihat beredar pada 11.37 pagi.

Kelmarin, media melaporkan, SPRM akan memanggil Muhammad Sanusi dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan KFA.

Kes rasuah membabitkan KFA dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan projek-projek di Kedah jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan.

Pada 7 Januari lalu, Muhammad Sanusi mendakwa, wang RM6 juta yang dikaitkan dalam isu rasuah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) adalah sumbangan sebuah syarikat.

Beliau yang juga Presiden KFA berkata, syarikat terbabit mempunyai konsesi projek loji rawatan air di negeri ini dan berharap konsesi itu akan disambung.

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan negeri tidak menyambung konsensi syarikat itu dan syarikat terbabit kemudian meminta wang sumbangan RM6 juta itu dipulangkan semula.

Sebelum ini, SPRM menahan reman empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA masing-masing berusia 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM6 juta.

Wang itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji rawatan air di Kedah.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini