comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sanusi beri keterangan hampir 3 jam kepada SPRM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas hampir tiga jam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu tampil ke Ibu Pejabat SPRM di sini bagi membantu siasatan isu rasuah lebih RM6 juta melibatkan persatuan bola sepak negeri.

Kenderaan jenis Mercedes Benz berwarna kelabu dengan nombor plat KBV8 yang membawa Muhammad Sanusi dilihat beredar dari ibu pejabat berkenaan pada 11.37 pagi.

Bagaimanapun, usaha pengamal media untuk mendapatkan reaksi beliau selepas soal siasat itu gagal kerana kenderaan yang membawa Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) terbabit tidak berhenti.

Terdahulu, Muhammad Sanusi tiba di sini pada jam 8.30 pagi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan suruhanjaya tersebut mengambil keterangan Muhammad Sanusi hari ini selama kira-kira tiga jam.

Semalam, media melaporkan, SPRM akan memanggil beliau dalam masa terdekat untuk membantu siasatan kes tersebut.

Sumber mendedahkan, siasatan membabitkan kes rasuah berkenaan dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek di negeri berkenaan jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak.

Pada 7 Januari lalu, Muhammad Sanusi mendakwa, wang RM6 juta yang dikaitkan dalam isu rasuah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) adalah sumbangan sebuah syarikat.

Beliau yang juga Presiden KFA berkata, syarikat terbabit mempunyai konsesi projek loji rawatan air di negeri ini dan berharap konsesi itu akan disambung.

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan negeri tidak menyambung konsensi syarikat itu dan syarikat terbabit kemudian meminta wang sumbangan RM6 juta itu dipulangkan semula.

Sebelum ini, SPRM menahan reman empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA masing-masing berusia 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM6 juta.

Wang itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji rawatan air di Kedah.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini