comscore
Tumpuan :
Politik

Johari lebih suka bersemuka, berdialog dengar isu rakyat

Johari bersama penduduk di Baiduri Apartment Desa Pandan. – Foto: Facebook/ Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Tidak dapat dinafikan pelbagai cara berkempen dilakukan calon parti yang bertanding, bagi meraih sokongan pengundi.

Namun bagi calon BN Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, tiada kaedah lebih baik untuk mengetahui isi hati rakyat selain mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi mendengar dan mendapatkan input secara langsung.

Ujarnya, dialog dua hala dengan rakyat adalah penting baginya untuk mendapatkan maklumat sebenar.

Ia seperti yang diadakan bersama penduduk Pangsapuri Baiduri di Desa Pandan.

“Berbanding dengan ceramah politik, saya lebih suka mengadakan lebih banyak dialog. Ia bagi mengetahui apakah isu tempatan yang mereka hadapi.

“Ini kerana setiap lokaliti mempunyai masalah dan fokus yang berbeza,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Bekas Menteri Kewangan Kedua itu berkata, banyak rungutan penduduk Desa Pandan kepadanya mengenai bekas wakil rakyat yang tidak berurusan dengan agensi kerajaan dalam menguruskan kawasan itu seperti jalan tidak diturap dengan baik dan pengurusan kesesakan lalu lintas berhampiran kawasan sekolah yang teruk.

Selain itu, cadangan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk kerap merapikan pokok dan kaedah pemotongan pokok yang tidak mesra alam; serta cadangan pembinaan perpustakaan di kawasan itu sebagai persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk kanak-kanak.

Johari bersama penduduk di Baiduri Apartment Desa Pandan. – Foto: Facebook Johari Abdul Ghani

Johari turut berkongsi ketika menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa dari 2013 hingga 2018, beliau memudahkan kerja antara lain mengecat semula blok Pangsapuri Baiduri dan bangunan stesen bas berhampiran.

Yang pasti, Parlimen Titiwangsa amat dekat di hatinya kerana kawasan itu adalah tempat beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dilahirkan.

“Kawasan ini (Parlimen Titiwangsa) adalah tempat di mana saya dilahirkan, disekolahkan dan dibesarkan. Ini membuatkan minat yang mendalam untuk menyelesai segenap permasalahan masyarakat sebagai anak tempatan di sini.

“Terutamanya dalam isu-isu pendidikan, kemiskinan bandar dan banyak lagi. Bagaimanapun, banyak perkara yang boleh saya bangunkan untuk Parlimen Titiwangsa dalam soal-soal permasalahan yang lebih berat tetapi ianya memerlukan tugas sebagai wakil rakyat atau suara Ahli Parlimen yang komited untuk mengatasinya.

“Oleh demikian, saya tidak pernah berhenti untuk berkhidmat membantu masyarakat Parlimen Titiwangsa walaupun bukan menjadi wakil rakyat sepanjang tempoh empat tahun enam bulan sejak 2018,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Johari memenangi kerusi itu dengan memperoleh 23,034 undi dan majoriti 866 undi menentang Ahmad Zamri Asa’ad Khuzami dari PAS.

Pada PRU-15, Parlimen Titiwangsa menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Johari dengan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad (PH), Pengerusi Perhubungan PEJUANG Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam (PN). – BULETIN TV3

Loading...
Terkini