comscore
Tumpuan :
Politik

“Mesyuarat tak bincang pembentukan kabinet” – Fahmi Fadzil

PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak membincangkan mengenai pembentukan Kabinet namun memberi fokus beberapa isu rakyat termasuklah risiko banjir di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat itu menzahirkan kebimbangan berhubung risiko banjir yang mungkin berlaku susulan Monsun Timur Laut.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, yang mengesahkan perkara itu berkata, isu berkaitan kos sara hidup dan kemungkinan berlakunya bencana menjadi antara agenda perbincangan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, yang berakhir sebentar tadi.

“Kita tidak berbincang apa-apa berhubung pembentukan Kabinet.

“Sebaliknya, Perdana Menteri memikirkan bukan sahaja mengenai kos harga barang tetapi isu yang melanda seperti banjir.

“Ini kerana berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Negara taburan hujan hingga 3 Disember ini adalah tinggi,” katanya.

Ketika ditanya bila barisan Kabinet akan dibentuk Perdana Menteri, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pihaknya percaya ia akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Berhubung sama ada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dilantik dalam barisan Kabinet, Fahmi bagaimanapun berkata, beliau tidak terbabit dalam sebarang perbincangan mengenainya.

“Kena tanya Perdana Menteri, saya tidak terbabit dalam perbincangan itu,” katanya.

Mesyuarat Majlis Presiden PH yang bermula pada jam 4 petang tadi dipengerusikan Anwar yang juga Pengerusi gabungan itu.

Turur kelihatan hadir ialah, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Timbalannya, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.

Hadir sama, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli.

Loading...
Terkini