comscore
Tumpuan :
Politik

MKT UMNO ditangguh, pendirian sertai gabungan kerajaan belum muktamad

Datuk Seri Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Biro Politik UMNO yang selesai kira-kira jam 2.30 petang tadi belum memutuskan sebarang hala tuju parti itu sama ada menyertai mana-mana gabungan parti lain bagi membentuk kerajaan atau sebaliknya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menjelaskan akan ada beberapa sesi perbincangan selepas ini, bagi melihat senario itu.

“BN akan menentukan hala tuju kita. Kita akan putuskan dengan secara menang-menang. Kita belum putuskan (sebarang gabungan). Kita akan bincang lagi,” katanya ditemui media di lobi Menara Dato’ Onn disini.

Beliau juga mengesahkan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang sepatutnya berjalan petang ini ditangguhkan, namun perincian mesyuarat yang ditunda itu tidak dijelaskan.

“Tanya Setiausaha Agung (Datuk Seri Ahmad Maslan),” katanya.

Ditanya mengenai desakan supaya Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur, Bung Mokhtar akui ia wujud, namun semua pemimpin UMNO wajar bertanggungjawab.

“Belum sampai ke tahap itu (desak Ahmad Zahid letak jawatan). Kita semua pemimpin UMNO perlu bertanggungjawab. Kalau mahu letak jawatan, semualah letak jawatan,” katanya.

Beliau berkata, UMNO juga perlu melalui tranformasi dalam kepimpinannya, susulan kekalan teruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Sebab itu kita perlu pragmatik dalam menentukan hala tuju kita. Bermakna pemimpin akan bertukar ganti. Kita akan pastikan UMNO dan BN akan terus diberi nafas baru. Kita fikir cara terbaik untuk parti ‘survive’,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, semua lima tertinggi UMNO hadir dalam mesyuarat Biro Politik UMNO tadi.

Bagaimanapun, beliau enggan berkongsi intipati serta keputusan dari perbincangan mesyuarat berkenaan.

Loading...
Terkini