comscore
Tumpuan :
Politik

Muda-PSM tidak bertanding PRK Kuala Kubu Bharu

emangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz (4 dari kiri) dan Timbalan Pengerusi PSM, S. Arutchelvan (5 dari kiri) selepas sidang media berhubung pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu di Petaling Jaya hari ini.-Foto: NSTP

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei depan.

Menerusi satu kenyataan bersama, Muda-PSM berkata keputusan itu diambil bagi membolehkan pengundi di Kuala Kubu Bharu melaksanakan hak mengundi mereka dan mengemukakan referendum yang kuat terhadap prestasi Kerajaan Madani serta membolehkan pengundi membuat keputusan antara parti pemerintah penyandang dan parti pembangkang utama.

“Walaupun keputusan Muda-PSM untuk tidak bertanding, ini tidak sesekali menjadi batu penghalang untuk suara rakyat menjadi perhatian utama Muda-PSM,” kata kenyataan itu.

Timbalan Pengerusi PSM, S. Arutchelvan (3 dari kiri) bercakap pada sidang media berhubung pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu di Petaling Jaya hari ini. -Foto: NSTP

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) menamakan Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Pang Sock Tao mewakili gabungan itu manakala Perikatan Nasional (PN) pula mencalonkan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu, Hulu Selangor Khairul Azhari Saut untuk bertanding dalam PRK itu.

Mengulas lanjut, Muda-PSM turut menggesa semua parti dan calon bertanding untuk memenuhi aspirasi pengundi serta hasrat rakyat Malaysia iaitu memerangi politik perkauman yang menggugat keharmonian rakyat.

Asprasi dan hasrat lain katanya adalah memperjuangkan hak rakyat berdasarkan penilaian keperluan dan bukan perkauman serta memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Seterusnya memperjuangkan keadilan kos sara hidup dan meningkatkan keselamatan sosial; memelihara dan memulihara alam sekitar dan menjamin hak demokratik rakyat,” katanya.

Menurut Muda-PSM, isu penting seperti kos sara hidup yang tidak sepadan dengan gaji, perumahan yang menekan golongan B40 dan penjagaan kesihatan awam adalah antara fokus perlu disegerakan oleh Kerajaan Madani.

“Muda-PSM akan menggunakan tempoh berkempen dua minggu PRK ini untuk melancarkan kempen-kempen rakyat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini