comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Muhyiddin serah pindaan perlembagaan BERSATU kepada RoS


 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan cadangan pindaan perlembagaan parti berkenaan ke Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), di sini.

Media dimaklumkan dokumen cadangan pindaan itu diserahkan kepada Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad.

Majlis pertemuan dan serah dokumen berlangsung kira-kira 20 minit.

Sidang media oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas BERSATU di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di Putrajaya.

Terdahulu, kenderaan membawa Ahli Parlimen Pagoh itu dilihat memasuki pekarangan Kompleks Setia Perkasa yang menempatkan Ibu Pejabat RoS pada jam 10.58 pagi.

Muhyiddin diiringi Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dalam sidang media selepas penyerahan itu, Muhyiddin berharap pihak RoS memberi pertimbangan positif dan dapat memberikan kelulusan secepat yang mungkin.

“Tadi kita telah jelaskan satu persatu kepada Ketua Pengarah (RoS) dan alhamdulillah semuanya teratur. Saya diberitahu (cadangan pindaan parti) telah mengikut peraturan ditetapkan.”

“Saya memohon supaya Ketua Pengarah beri pertimbangan sebaiknya dalam tempoh segera. Kalau sekiranya ada keperluan tertentu maka pihak Setiausaha Kerja parti akan beri maklumat,” katanya.

Pada Mesyuarat Agung Khas BERSATU pada 2 Mac lalu, perwakilan parti itu sebulat suara menyokong usul untuk meminda Perlembagaan BERSATU bagi menghalang wakil rakyat parti tersebut berpaling tadah.

Pindaan itu melibatkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan BERSATU berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Fasal 10.4 memperuntuk mana-mana ahli BERSATU yang merupakan wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi selari dengan Fasal 10.5 disifatkan terhenti keahliannya daripada parti itu secara serta merta.

Perkara 10.5 pula menyatakan Majlis Pimpinan Tertinggi boleh mengeluarkan arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat atau DUN atau Dewan Negeri dan ia hendaklah dibuat secara bertulis.

Perkara 10.6 merujuk kepada Fasal 10.4 iaitu Setiausaha Agung, atas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi hendaklah mengeluarkan notis kepada ahli berkenaan yang memaklumkan bahawa keahlian beliau telah terhenti secara serta merta dan namanya dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti.

Pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen BERSATU mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Zahari Kechik (Jeli); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Khamis lalu, seorang ADUN parti itu Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Kelang) turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Muhyiddin menafikan dakwaan Abdul Rashid bahawa BERSATU Se­langor dikuasai ‘kumpulan kartel’ dipimpin individu ‘baru sehari dua’ menyertai parti itu sehingga menjadi punca beliau menyokong Aminuddin.

“Tiada kartel, parti ini bergerak atas dasar perlembagaan, ada peraturan, Abdul Rashid jadi Timbalan Pengerusi Badan Pimpinan Negeri, kalau kartel berkartel, dengan dia (juga kartel).”

“Jangan cari sebab dan dalil apabila lakukan kesilapan besar, malah tuduh parti buat itu, satu perbuatan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Rashid menolak dakwaan merajuk kerana dilucutkan jawatan­ Ketua BERSATU Negeri, sebaliknya merasakan diri tidak diperlukan parti selepas sembilan tahun bekerja keras menubuhkan BERSATU Selangor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini