comscore
Tumpuan :
Politik

Nama Pengganti Exco Sudah Ada, Bukan Dari UMNO- Muhammad Sanusi

Menurut Datuk Seri Sanusi, pengganti Datuk Suraya Yaacob sudah ada namun bukan dari UMNO.

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sudah mempunyai nama pengganti bagi jawatan Exco Kerajaan negeri yang dikosongkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.

Pemilihan pengganti itu dilakukan di kalangan wakil rakyat PAS, dan akan dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi mendapatkan perkenan baginda.

“Proses pelantikan ini ada langkah yang perlu dituruti. Saya kena hantar surat makluman peletakkan jawatan exco kepada Tuanku Sultan, dan mohon baginda perkenankan penggantian. Kemudian, barulah saya boleh persembahkan nama pengganti dan memohon satu tarikh untuk istiadat angkat sumpah.”

“Kalau boleh kita akan adakan pelantikan sebelum sidang DUN hujung bulan ini. Sekiranya tidak sempat, saya akan menjawab soalan yang dibangkitkan bagi portfolio yang berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Suraya yang merupakan Ahli Majlis Kerja tertinggi UMNO melepaskan jawatan Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Tenaga dan Pengairan Saliran Kedah pada 13 Oktober lalu.

Peletakkan jawatan itu dilakukan Datuk Suraya bagi menumpukan kepada kerja parti dan beliau tidak merancang untuk menarik sokongan kepada kerajaan negeri dipimpin Datuk Seri Muhammad Sanusi walaupun sudah melepaskan jawatan Exco.

Kerajaan negeri Kedah dibentuk dengan komposisi 15 ADUN PAS, 5 Bersatu, dan 2 UMNO.

Loading...
Terkini