comscore
Tumpuan :
Politik

PAS sah akan bertanding di salah satu kerusi dalam PRK di Johor – Hadi Awang

KUALA LUMPUR: PAS mengesahkan akan bertanding di satu daripada dua kerusi yang akan terbabit dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor yang dijadual berlangsung pada 9 September depan.

Perkara itu dimaklumkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan Peringkat Pemuda Perikatan Nasional (PN) di ibu pejabat PAS di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang bagaimanapun tidak memperincikan sama ada calon PAS akan bertanding atas nama Perikatan Nasional (PN) di kerusi Parlimen Pulai ataupun Dewan Undangan negeri (DUN) Simpang Jeram.

Sementara itu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, ketika ditemui pada majlis sama memaklumkan ketiga-tiga parti dalam gabungan itu iaitu PAS, BERSATU dan GERAKAN ada mencadangkan calon masing-masing, sebelum pimpinan tertinggi memutuskan satu kerusi dalam PRK itu diserahkan kepada PAS.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS berkata, PAS sendiri sudah pun memuktamadkan calon yang akan mewakili parti itu yang mana ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Mas itu tidak mendedahkan kerusi mana yang akan ditandingi PAS, termasuk sama ada BERSATU atau GERAKAN akan bertanding di satu lagi kerusi.

“Kita telah pun memutuskan calon yang akan bertanding mewakili PAS di salah satu kerusi ini, tetapi perinciannya akan diumumkan dalam kenyataan rasmi oleh pihak tertinggi parti.

“Namun saya tak berhasrat mendahului kepemimpinan parti untuk buat kenyataan. Ia akan diumumkan dalam masa terdekat sebelum penamaan calon,” katanya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan luar jangka susulan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub selaku penyandang kedua-dua kerusi terbabit pada 23 Julai lalu.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Ditanya mengenai PRK untuk DUN Pelangai susulan kematian Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Bandar Elmina di Shah Alam Khamis lalu, Ahmad Fadhli berkata, PAS dan PN belum adakan perbincangan mengenainya.

“Kita masih tidak buat perbincangan lanjut untuk menghormati keluarga Almarhum dan keluarga mangsa lain yang terbabit dalam nahas itu,” katanya.

Loading...
Terkini