comscore
Tumpuan :
Politik

PAS tidak akan rayu pembatalan kemenangan calonnya di Kemaman – Takiyuddin

PETALING JAYA: PAS memutuskan  tidak akan memfail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calonnya Che Alias Hamid di Kemaman.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu diambil memandangkan “hakim tidak menamakan mana-mana pihak” yang terlibat dengan amalan rasuah bagi kawasan itu.

“Sehubungan dengan itu PAS menunggu dan bersiap sedia untuk mengambil langkah selanjutnya berdasarkan ketetapan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan daripada keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebooknya, hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya minggu lalu telah membenarkan petisyen Barisan Nasional (BN) terhadap Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid, sekali gus membatalkan kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November 2022.

Keputusan dibuat setelah mahkamah berpuas hati pihak pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU-15.

Berikutan ketiadaan rayuan di pihak PAS dalam tempoh 14 hari, SPR akan mengisytiharkan kerusi parlimen itu kosong, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini