comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PEJUANG hasrat masuk PN

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) memohon kepada Perikatan Nasional (PN) untuk diterima sebagai anggota parti komponennya.

Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, hasrat itu disampaikan beliau menerusi surat yang diutuskan kepada Pengerusi PN yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Beliau berkata, surat tersebut juga disalinkan kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.

“Keputusan untuk membuat permohonan ini telah disepakati oleh Majlis Eksekutif Pusat (MEP) PEJUANG, dua hari lalu setelah penelitian dan penilaian khusus semua opsyen-opsyen gabungan atau kerjasama politik yang ada.

“Ini adalah sesuai dengan mandat yang kami perolehi dari Perhimpunan Agung PEJUANG kali ke-2 (pada Januari lalu),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota PN ketika ini terdiri daripada BERSATU, PAS dan Gerakan.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, keputusan MEP itu setelah membuat pertimbangan bahawa adalah tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya (electoral pact) diwujudkan hanya untuk tujuan mengelak dari pertindihan kerusi yang ditandingi, lebih-lebih lagi jika lambang berasingan digunakan oleh kedua-dua pihak yang berpakat.

Selain itu, pertimbangan MEP juga mengambil kira lebih menguntungkan semua pihak jika PEJUANG menyertai PN dan bertanding menggunakan lambang PN.

“Setentunya ini bermakna kesepakatan PEJUANG dengan PN itu tidak terhad hanya kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung Jun ini, tetapi juga untuk jangka masa panjang.

“Penyertaan PEJUANG sebagai anggota komponen PN adalah untuk memastikan tiada perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya yang mendatang,” katanya.

Mukhriz berharap kepimpinan PN akan mempertimbangkan permohonan PEJUANG dan memberi respon yang positif.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), PEJUANG yang bertanding menggunakan tiket Gerakan Tanah Air (GTA) dan menggunakan logo PEJUANG, gagal mendapat sebarang kerusi di 125 kawasan yang mereka bertanding.

Loading...
Terkini