comscore
Tumpuan :
Politik

PEJUANG tidak sertai PRN – Mukhriz

Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata berundur setapak bukan bererti berundur selamanya, prinsip perjuangan parti akan terus ditegakkan. – foto NSTP

KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan berlangsung 12 Ogos depan.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata,  jika ada tawaran saat akhir daripada Perikatan Nasional (PN) untuk PEJUANG bertanding dalam PRN, ia terpaksa ditolak.

“Setelah menanti sejak Januari, (Pejuang) tidak mendapat respon yang positif daripada PN atas hasrat kami untuk sertai gabungan itu.

“Maka Pejuang telah membuat keputusan tidak akan menyertai PRN (akan datang di) enam negeri,” katanya pada sidang media  selepas Program Amanat Presiden bersama pimpinan negeri dan sayap parti di sini.

Keputusan untuk tidak bertanding itu diputuskan di mesyuarat exco PEJUANG minggu lalu.

Jelas beliau, parti itu sebaliknya akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kedudukan bagi menyertai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Mukhriz berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung keputusan PEJUANG untuk tidak bertanding dalam PRN akan datang.

“Berundur setapak bukan bererti berundur selamanya, kita akan terus menegakkan prinsip perjuangan parti.

“Kami (PEJUANG) bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa undi Melayu tidak seharusnya dipecahkan,’ katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak menghalang jentera parti itu turun padang dan membantu calon parti lain.

“Kami tidak halang, tetapi jangan guna nama PEJUANG secara rasmi. Itu hak mereka secara individu, namun tidaklah sehingga mereka naik ke pentas dan berceramah untuk parti lain,” katanya.

Loading...
Terkini