comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Pejuang akur keputusan rakyat dalam PRU-15

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pejuang akan terus mengetengahkan perjuangan parti itu biarpun semua calon ditampilkan mereka kecundang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), semalam.

Timbalan Presidennya, Datuk Marzuki Yahya yang akur dengan kekalahan itu menyifatkan keadaan sedemikian berlaku akibat kecenderungan pengundi memilih gabungan parti politik yang terbukti gagal, sebelum ini.

“Pejuang terima kekalahan pada PRU-15 kerana ini adalah keputusan rakyat. Bagaimanapun, kami tetap teruskan usaha membawa wadah parti.

“Kita juga sudah berusaha menyelamatkan masyarakat Melayu daripada parti politik. Malangnya, pengundi memilih parti yang gagal untuk kembali ke Putrajaya,” katanya kepada BH, hari ini.

Media semalam melaporkan semua calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding atas tiket Pejuang tewas pada percaturan merebut Putrajaya pada PRU-15.

Selain itu, Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz gagal mempertahankan kerusi masing-masing, selain kedua-duanya hilang wang deposit apabila memperoleh jumlah undi sangat rendah.

Selepas beberapa dekad, Dr Mahathir, 97, yang juga calon tertua pada PRU-15, menyaksikan kegagalannya menambat hati pengundi di Langkawi apabila hanya memperoleh 4,566 undi. Beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang memperoleh 25,463 undi.

Mukhriz yang juga Presiden Pejuang turut kecundang di Parlimen Jerlun selepas hanya meraih 3,144 undi dan ditewaskan Yang Dipertua Pas Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad.

Selain itu, lima calon Pejuang yang bertanding merebut lima kerusi Parlimen di Pulau Pinang dilaporkan hilang wang pertaruhan selepas gagal memperoleh undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira pada PRU-15.

Ditanya penerimaan Dr Mahathir mengenai kekalahan itu, Marzuki berkata, bekas Perdana Menteri berlapang dada menerima keputusan yang ditentukan menerusi saluran demokrasi terbabit.

“Dr Mahathir kini berada di Kuala Lumpur dan beliau tiada masalah dengan perkembangan ini. Beliau terima apa-apa keputusan yang ditetapkan menerusi saluran demokrasi,” katanya.

Mengulas pelan tindakan Pejuang, Marzuki berkata, kepemimpinan utama parti itu dijangka melaksanakan perbincangan mengenai hala tuju dan strategi dalam masa terdekat.

“Kita akan membuat penilaian semula secara menyeluruh membabitkan perkembangan ini, selain Pejuang akan terus menjalankan tugas dan perjuangan kita.

“Setakat ini, kita belum menerima laporan penuh berhubung keputusan PRU-15, selain tidak pasti berapa kerusi yang kita hilang wang pertaruhan,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini