comscore
Tumpuan :
Politik

Pemimpin PAS P. Pinang dakwa Dominic mungkir janji, tanding kerusi Melayu kerana takut DAP  

PETALING JAYA: Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau dibidas oleh seorang pemimpin PAS Pulau Pinang kerana didakwa mungkir janji apabila bertanding di kerusi DUN Bayan Lepas, kerusi majoriti Melayu sedangkan pada awalnya tidak diingini parti itu.

Ahli jawatankuasa Jabatan Pilihan Rayanya, Anas Soffy Abd Wahid juga mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang itu berbohong dengan pucuk pimpinan komponen berhubung pembahagian kerusi termasuk Bayan Lepas yang sebelum ini dipersetujui ditandingi Iszuree Ibrahim.

Beliau berkata Dominic pada perbincangan awal meminta PAS dan Bersatu memberi laluan di enam kerusi campuran iaitu Machang Bubuk, Bukit Tengah, Datok Keramat, Sungai Pinang, Batu Uban dan Pantai Jerejak, serta berjanji tidak akan bertanding di 15 DUN majoriti Melayu.

Susulan itu, Bersatu dan PAS tidak menghantar nama untuk enam kerusi terbabit, namun Lau telah memungkiri janji dengan mencadangkan namanya di Teluk Ayer Tawar dan beberapa hari lalu menukarnya kepada Bayan Lepas.

“Beliau takut mengumumkan bertanding di Bayan Lepas ketika pengumuman calon PN di Pongsu Seribu (Rabu lalu) kerana terang-terang telah memungkiri janji dengan pimpinan PN Pulau Pinang.

“Beliau mahu bertanding di DUN majoriti Melayu kerana takut berhadapan DAP,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

Semalam, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan Dominic akan bertanding di Bayan Lepas selepas sehari sebelum itu namanya dikecualikan ketika pengumuman senarai calon PRN PN Pulau Pinang.

Hanya 39 daripada 40 calon diumumkan manakala calon bagi kerusi DUN terbabit tidak didedahkan dan nama Dominic juga tiada dalam senarai berkenaan.

Sebahagian ahli PAS di Bayan Lepas baru-baru ini, mengadakan perhimpunan menuntut calon PAS diletakkan di kerusi kawasan itu dan tidak diberikan kepada Gerakan.

Mereka berkata kerusi DUN Bayan Lepas sudah menjadi milik PAS secara tradisi sejak PRU ke-12 dan pengundi di situ hanya mahu memilih calon Melayu.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahlinya jangan sesekali bertindak menentang keputusan parti kerana senarai calon yang dipilih bertanding pada PRN di enam negeri bulan depan, adalah muktamad.

Loading...
Terkini