comscore
Tumpuan :
Politik

Pemimpin PAS samakan BN ‘kain buruk pengelap kaki’ DAP diminta bertaubat

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. – FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali meminta pemimpin PAS yang menyamakan BN seperti “kain buruk pengelap kaki” supaya bertaubat.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata menghina bukan akhlak muslim jauh sekali sebagai mukmin apatah lagi akhlak seorang yang mengaku pejuang Islam.

Lebih-lebih lagi kata-kata itu dikeluarkan pemimpin utama bergelar ahli Parlimen, ia katanya sangat hodoh dan jelik serta tidak berakhlak.

“Menghina parti lain yang pernah menjadi rakan kerjasama atas nama Islam dan Melayu sebagai “kain buruk pengelap kaki” adalah akhlak yang sangat buruk dari seorang yang dipanggil ustaz.

“Apa keuntungan dunia yang dikehendaki daripada penghinaan ini?” katanya.

Meskipun tidak menyebutkan nama pemimpin berkenaan, kenyataan Mohd Khairuddin itu dipercayai merujuk ucapan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari pada Konvensyen Pilihan Raya PN di Shah Alam, semalam.

Ahmad Fadhli dilaporkan berkata ‘BN ibarat kain buruk pengelap kaki basah DAP’ sebagai reaksi kepada kenyataan bekas ahli parlimen DAP, Tony Pua yang menggelarkan UMNO-BN sebagai  ‘pakatan korup’.

Menurut Khairuddin pemimpin PAS itu tidak perlu malu untuk bertaubat dan memohon maaf.

‘Berpolitiklah. Tetapi berpolitiklah dengan akhlak Islam kerana anda mendakwa pejuang politik dan dakwah Islam!’.

“Saya menyeru ustaz ahli Parlimen ini untuk bertaubat kepada Allah kerana Allah menyeru kepada taubat daripada menghina dan merendahkan sesama muslim dan memohon maaf atas penggunaan kata-kata bidalan yang hodoh ini agar tidak menjadi ikutan kepada anak-anak muda yang dipimpin oleh beliau”, katanya.

Loading...
Terkini